Bahang pilihanraya makin terasa. Setiap orang pastinya teruja dengan
keadaan pilihanraya yang semakin hangat kini. Barisan pemimpin yang
bakal bertanding seharusnya sudah mempunyai perancangan yang
berkesan untuk memenangi pilihanraya itu nanti manakala bagi pihak
masyarakat awam pula sudah tentu memikirkan siapakah yang bakal dan
layak digelar pemimpin untuk mereka nanti. Yang pasti, masyarakat
perlu tahu untuk menilai dengan bijak bagi menggelarkan insan yang
benar- benar mampu memimpin mereka. Dalam hal ini, agama Islam
sebagai satu cara hidup, telah menggariskan panduan jelas yang boleh
diamalkan untuk kesejahteraan masyarakat umum. Kejayaan dan kemajuan
sesuatu bangsa bergantung kepada gaya kepimpinan pemimpin mereka dan
berkait rapat dengan kesedaran menunaikan tanggungjawab oleh
pemimpin dan seterusnya menggerakkan masyarakat ke arah kebaikan.
Berhadapan dengan keadaan pilihanraya, kita tidak boleh lari dari
membicarakan perbezaan pendapat. Ini kerana, setiap individu, berhak
mempunyai dan melontarkan pendapat serta pilihan masing- masing.
Allah menciptakan manusia dengan pelbagai jenis perbezaan sama ada
warna kulit, rupa bentuk, bahasa termasuk juga cara berfikir.
Kepelbagaian pendapat adalah sesuatu yang lumrah dan ia wujud
bersama- sama dengan kepelbagaian bangsa, bahasa, jenis ilmu yang
diperolehi juga pengalaman.
Pendedahan kepada cabaran- cabaran semasa dan kemelut yang melanda
masyarakat kini melahirkan kepada kepelbagaian buah fikiran dan
lontaran pendapat. Biarpun masyarakat kita berbeza dan berselisih
pendapat dan pemikiran tetapi bukan bermakna tiada kesepakatan yang
boleh disatukan agar terbentuk suatu masyarakat yang bertamadun. Apa
yang dirisaukan, sekiranya perbezaan pendapat ini menjadi api
pemusnah kepada perpaduan masyarakat jika tidak ditangani dengan
cara yang sempurna dan yang mampu mendatangkan perasaan tidak senang
hati di kalangan sesetengah pihak, saling berbantah dan akhirnya
membawa kepada permusuhan.
Dalam sesetengah wacana ilmu, medan dakwah atau pun perbualan
harian, lazimnya kita berhadapan dengan persoalan setuju atau tidak
dengan sesuatu buah fikiran. Dan seorang Muslim yang bijaksana tidak
harus cepat melatah dengan jawapan sebaliknya yang diterima dan
tidak cepat membuat andaian buruk sekiranya pandangan tidak memenuhi
kehendak kita. Sebaliknya, kita harus berlapang dada dan bertolak
ansur dengan apa yang disuarakan selagi ia tidak bertentangan dengan
hakikat nyata.
Melihat keadaan semasa negara kita sekarang menggambarkan corak dan
warna warni perkembangan siasah dan suasana sebelum berlakunya hari
pilihanraya. Ramai bakal pemimpin yang bertanding yang mewakili
parti- parti yang disertainya. Dan sudah diramalkan mereka membawa
faham perjuangan yang berbeza dan harapan tertentu daripada
masyarakat. Ia merupakan satu perkembangan yang sihat jika kita
melihat dari sudut pandangan yang baik. Hal ini bermanfaat dan baik
sekiranya perbezaan itu tidak melampaui batas dan tetap menjaga adab
dan akhlak yang betul sepertimana yang telah digariskan oleh syara'.
Walaupun berbeza pendapat dan pemikiran (fikrah) tetapi selagi
masyarakat masih lagi berpegang kepada tali agama yang mengikat diri
dengan Pencipta, selagi itulah masyarakat kita tidak akan berpecah.
Menyentuh tentang adab yang seharusnya dimiliki apabila wujudnya
perbezaan pendapat perlulah dijadikan pengiktibaran. Sebagai satu
unit di dalam masyarakat, kita perlu ikhlas dan menjauhkan diri dari
mengikut hawa nafsu. Ikhlas dalam segala tindakan merupakan syarat
agar amalan kita dapat diterima oleh Allah dan juga tidak bermegah
dalam mencari dan menegakkan kebenaran. Salah satu daripada tanda
ikhlas ialah apabila seseorang itu sanggup menerima kebenaran
walaupun datangnya daripada seseorang yang lebih rendah pangkatnya
sepertimana yang berlaku kepada Saidina Umar Al Khattab di mana
beliau menerima kebenaran walaupun datangnya dari seorang perempuan
yang lebih rendah pangkatnya berbanding beliau.
Sesetengah pihak tidak boleh mempunyai sifat ingin memenangkan diri
sendiri. Kita mungkin pernah terdengar kata- kata "apa yang saya
cakap semuanya betul dan kata- kata awak tadi adalah salah".
Seandainya beginilah cara seseorang memberi dan menerima pandangan
orang lain, di penghujungnya, dia hanya mempunyai ramai musuh
berbanding dengan kawan. Bukankah itu membawa kepada bibit- bibit
perpecahan dalam masyarakat kita? Justeru, walaupun sesetengah
daripada kita mempunyai lunas pandangan yang berbeza, bukanlah
bermakna tidak boleh bersatu di bawah satu rumpun perpaduan yang
dijanakan atas dasar kebenaran dan keihlasan dengan syarat setiap
ahli masyarakat perlu mempunyai adab- adab dan akhlak yang telah
digariskan dalam agama.
Kebenaran dalam sesuatu pandangan juga mempunyai tempoh matang untuk
setiap orang menerima dan mempercayainya. Jika kita menelusuri
sejarah Rasulullah SAW dalam usaha dakwah di mana baginda menerima
penolakan yang cukup lama dalam menyampaikan dakwah agama Islam
sehinggalah baginda berjaya menyedarkan masyarakat Jahiliyyah bahawa
kebenaran agama Islam itu tidak dapat dinafikan lagi. Pengajaran
daripada sirah ini bahawa tidak semua pandangan , pendapat atau
pemikiran dapat diterima oleh segenap masyarakat. Sehubungan dengan
itu, wujud juga kepelbagaian fahaman siasah dalam masyarakat kita.
Berbeza pendapat dalam sesebuah masyarakat adalah menunjukkan ciri
masyarakat bertamadun yang bergerak menuju kepada kemajuan dan
kesejahteraan. Agama Islam tidak mengajar pendekatan secara keras
jahil dan zalim dalam apa jua tindakan.
Salah satu sikap yang perlu dihindari oleh semua orang apabila
wujudnya perbezaan pendapat ialah sifat ta'assub (fanatik) dan
berkelompok dengan satu pandangan dan sentiasa ingin menegakkan
benang yang basah sehingga membawa kepada permusuhan. Sepertimana
hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah
mengatakan, "Cintailah seseorang dengan berpatutan kerana dia
mungkin kelak akan menjadi orang yang kamu benci. Bencilah seseorang
secara berpatutan kerana mungkin kelak dia akan menjadi orang yang
kamu cintai". Hadis ini memberikan pengajaran kepada kita agar
mempunyai pertimbangan yang wajar dalam menerima atau tidak menerima
sesuatu pandangan dan tidak berlebih- lebihan. Ini kerana, akibat
munculnya sifat ta'asub ini boleh melalaikan seseorang dan akhirnya
membawa kepada perpecahan kerana seringkali mementingkan dan
memenangkan kelompok sendiri. Jika menyoroti lembaran sirah di mana
puak- puak Assabiyyah dahulu saling berbunuhan sesama sendiri kerana
memiliki sikap ta'asub dan akhirnya membawa kesan kepada perpecahan,
pertelingkahan dan kacau bilau dalam masyarakat Arab.
Allah juga berfirman dalam Surah Al Hujurat ayat 10 di mana
menyarankan umat Islam mengutamakan sikap persaudaraan (ukhuwah).
Sehubungan dengan piliharaya yang bakal tiba, walaupun terdapat
perbezaan dan perselisihan antara pelbagai pihak yang bertanding,
mereka perlu menyedari dan mendahulukan kepentingan perpaduan serta
persaudaraan. Walau apa pun matlamat setiap pihak, tujuan yang
paling utama ialah kesatuan, keserasian dan mengumpulkan hati- hati
masyarakat agar menjauhkan diri dari permusuhan zahir dan batin
serta unsur- unsur yang boleh memecahbelahkan masyarakat yang
akhirnya mengundang kemusnahan negara. Dan setiap orang daripada
kita harus menerapkan dalam hati bahawa perbezaan yang wujud
tersebut merupakan satu rahmat dan ia harus didasari dengan perasaan
ikhlas yang akan mencetuskan keharmonian dalam masyarakat.
Oleh yang demikian, seharusnya masyarakat mempunyai kaedah yang
matang dan berkesan dalam menangani kemelut perbezaan pendapat
menjelang pilihanraya ini agar ketegangan sesama umat tidak timbul.
Ini kerana, ketegangan seperti ini mampu meruntuhkan kesatuan umat
masyarakat sebagaimana terungkainya penyapu lidi sekiranya tali
pengikatnya dibuka. Keadaan ini amat bahaya dan mesti dielakkan.
Sama- samalah kita fikirkan.
Friday, March 7, 2008
Biar Berbeza Pendapat Tetapi Jangan Berpecah
Posted by Salasilahjusohmuhammad@blogspot.com at 10:34 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Comments:
Post a Comment