Wednesday, March 5, 2008

Aku Milik Allah

Assalamualaikum. Berikut ini aku posted satu artical yang kudapat malam ini...moga bemanfaat untuk diriku terutamanya.

Oleh:Ust Dzulkhari
Presiden Gamis

Umi terasa bimbang dengan anaknya. Pesannya agar aku berhati-hati kerana namaku sekarang dalam tangan Ketua Polis Negara. Aku tidak tahu dari mana ia mendengar khabar berita tersebut, meskipun memang benar namaku sudah naik ke Bukit Aman mengikut ura-ura.

Tarbiah yang melahirkan aku. Selama ini aku mati, bagai jasad tidak bernyawa. Hidupku langsung tidak berguna dan banyaknya ia sia-sia. Benarkan kalian mendengar debu-debu yang berterbangan? Begitulah hidupku.

Ustaz Anas adalah orang pertama yang mengenalku dengan satu dunia yang lebih luas. Beliau sangat tabah dalam mendidikku, dan beliau tidak pernah berasa jemu dan tepu untuk menepukkan kesedaran dalam jiwaku. Sampai sekarang, aku sangat mengormati beliau sebagai seorang naqib, juga seorang abang yang pengasih.

Aku hanyalah milik Allah. Dia meminjamkan tangan kepadaku, dan Dia ingin membeli tangan ini untuk ditukarkan dengan syurga. Dia memberikanku kaki, lidah, mata, telinga, dan kesemuanya supaya aku gunakan untuk Islam dan membela umat yang terhina.

”Hairi, enta mesti berjiwa besar. Enta tidak boleh berjiwa kecil,” pesan Abang Naim kepadaku.

”Tapi bang, bagaimana jiwa besar yang abang maksudkan itu?” aku bertanya kebingungan. Sebelum ini, tidak pernah aku mendengar istilah jiwa besar.

”Hairi adikku. Jiwa besar ini adalah, satu jiwa yang mesti dimiliki oleh muslim yang berserah diri kepada Allah, dengan meningkatkan upaya diri dan mengorbankan tenaga untuk melihat bunga Islam kembali mekar dan berbau harum,” ujar Abang Naim dengan bersemangat. Aku mengangguk-angguk. Darahku menjadi panas.

Aku melangkah kakiku ke Nilam Puri, satu bumi yang telah mengetuk pintu hatiku yang sebelum ini terlena dengan mimpi indah. Keremajaan yang sepatutnya aku hamburkan kepada keseronokan akhirnya kuhamburkan kepada perjuangan. Merakyatkan perjuangan, menyeka air mata rakyat, tangis tawa bersama rakyat, rebah bangun bersama perjuangan, itu modal yang membangkitkan kesedaran hatiku.

Hari itu aku mendengar Ustaz Fadzil berucap. Alangkah indah ucapannya ketika itu. Ia membaca satu baik hadis yang telah kuhafal, bunyinya cukup menarik,

”Sesungguhnya kalian berada dalam landasan kebenaran selagi mana kalian tidak dibelenggu dengan dua sakrat, iaitu sakrat kejahilan dan sakrat cintakan kehidupan dunia. Dan kamu akan tetap menyuruh yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran serta berjihad pada jalan Allah. Namun apabila kamu terang-terangan cintakan dunia, maka kamu tidak lagi menyuruh yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran serta berjihad. Di saat-saat itu, sesiapa yang berkata dengan al-Kitab dan al-Sunnah, maka ia seolah-olah saki-baki golongan Muhajirin dan Ansar”.

Meremang bulu romaku. Aku dapat merasakan bahawa hidupku selama ini diselubungi kejahilan yang teramat. Ya, aku dibelenggu oleh sakrat cintakan kehidupan dunia yang tiada sudahnya. Lalu, aku tertunduk keinsafan, menangisi segala kehidupanku yang rosak dahulu.

Siapalah aku pada pandangan Allah. Apakah Dia akan melihatku dengan pandangan belas di akhirat kelak. Atau, jika aku dilemparkan ke neraka, apakah akan datang Rasulullah untuk memberikan syafaat kepadaku. Atau aku akan terus menderita dan menderita bersama Abu Jahal dan Abu Lahab di dalamnya. Oh Allah, ampunilah segala dosa yang telah lakukan.

Setiap hari aku melangkah kaki ke Masjid Kampung Laut (MKL) yang berada bertentangan dengan UM Nilam Puri. Di masjid itulah aku berteleku dan mengungkapkan keabdianku dengan ibadat-ibadat dan air mata penyesalan. Aku masih ingat satu hadis nabi yang berbunyi, ”Dua mata tidak disentuh neraka, iaitu mata yang tertumpah airnya kerana takutkan Allah dan mata yang berjaga (di persempadanan)” .

Di hadapan UM, tersergam gah Kolej Islam Antarabangsa (KIAS). Wajah pelajarnya cukup jernih. Muslimat semuanya berjubah. Ramai kalangan mereka juga yang berpurdah, menyembunyikan keyuan wajah di sebalik sehelai kain demi mengelakkan fitnah. Muslimin pula, hampir kesemua berkopiah, malah ada yang berserban dan berjubah. Wajah mereka, tampak mengagumkan.

Aku cuba cermin-cermin wajahku. Alangkah, aku mempersoalkan diriku sendiri. Apakah orang tertarik dengan seri wajahku, atau wajahku gelap dan suram tanpa cahaya? Aku teringat kata Al-Ghazali, “Sebaik-baik orang ialah, apabila kita melihat mereka, maka kita akan teringatkan Allah”.

Sekali lagi aku terkedu.

“Anakku, apakah cita-citamu,” tanya ayah kepadaku sedang aku asyik bermain-man dengan janggutnya. Aku seronok bermain-main janggutnya, dan sesekali dia menggeselkan wajahnya ke pipiku dan aku meraung kegelian. Umi hanya tersenyum melihat kami anak-beranak sambil melipat kain. Umi cantik sekali. Seri wajahnya sangat indah. Bila ia tersenyum, umi kelihatan sangat menawan meskipun tiada lesung pipi yang menghias. Ayah juga tampan. Di matanya, terdapat satu garis putih sehingga ke bibir. Kata umi, garis putih itu adalah kesan air mata ayah yang kerap menangis.

“Saya bercita-cita ingin menegakkan Islam ayah,” ujarku. Ayah tersenyum bangga. Anaknya yang baru berumur 5 tahun sudah bijak berbicara. Lantas ayah mengucup dahiku seraya melafazkan beberapa kalimah bahasa Arab yang tidak kufahami.

“Anakku, jihad bukannya satu mainan,” kata ayah perlahan. Air matanya mengalir dan menitis di pipiku.

Kata umi, ayah seorang yang sangat soleh. Umi adalah orang yang sangat bertuah kerana dapat menjalani hidup di sisi seorang lelaki yang soleh, kuat berjihad dan sentiasa meletakkan kebergantungan kepada Allah. Kata Umi, ayah adalah pilihan ramai muslimah. Tetapi, ayah telah beristikharah sekian lama, dan ayah memilih untuk menjadikan umi sebagai suri hidupnya.

Umi telah kehilangan ibu semenjak kecil. Disebabkan itulah ayah semakin belas untuk menjadikan umi sebagai pasangan hidupnya. Kata umi, ayah memilih umi bukan kerana paras, tetapi ayah memilih umi kerana ingin memperkukuhkan semangat jihadnya.

”Eh Hairi, mengelamun nampak,” teguran Alan mengejutkanku. Bayangan ayah dan umi yang telah meninggalkanku akibat satu kemalangan ngeri dirembes angin hilang entah ke mana.

”Oh Alan. Ana sebenarnya sedang teringatkan orang tua ana” ujarku perlahan sambil cuba menahan sebak. Aku teringat pesan Umar, orang lelaki jangan mudah berasa lemah.

”Hairi, sudahla tu. Yang pergi biarkan mereka pergi, kita yang hidup mesti terus berjuang. Islam sangat memerlukan pemuda seumpamamu Hairi. Sahabat-sahabat kita di Jengka merindui suaramu yang bersemangat itu. Kata mereka, pidatomu, menggoncangkan hati-hati mereka”

”Ana hanyalah orang biasa akhi. Tiada lebihnya ana berbanding enta, melainkan ketinggian taqwa kepada Allah. Ana lebih suka hidup tidak dipuja, kerana ia bakal merosakkan amal selama ini. Ana lebih rela dihina sewaktu berada di dunia berbanding dihina di akhirat kelak”

”Jangan macam tu akhi. Ana tidak bermaksud untuk menenggelamkan enta dalam lautan takabbur, tetapi ana ingin menyedarkan bahawa enta punya kekuatan untuk Islam. bukankah enta sendiri berkata, bahawa himmah pemuda mampu menggoncangkan bukit-bukau? Ana masih teringat sewaktu dalam satu siri demonstrasi yang kita adakan, enta begitu bersemangat sehingga takbir berkumandang tidak putus-putus. Orang seperti enta perlu dilahirkan lagi,” semangat sekali Alan membakar semangatku.

”Alan, sudahlah tu. Ana kira, kita lebih banyak berbicara. Enta ada wudhu’?” Alan mengangguk. ”Ayuh, kita kerjakan solat hajat dan sama-sama mendoakan keselamatan untuk gerakan Islam dalam Pilihan Raya kali ini.

Sepi. Sunyi. Khali. Yang kedengaran kemudiannya adalah, ALLAH, ALLAH, ALLAH.

ALLAH, ALLAH, ALLAH, ALLAH, ALLAH, ASYHADU AN LA ILAAHA ILLALLAH, MUHAMMADUR RASULULLAH. ALLAH.. ALLAH...ALLAH. ..


”Anak-anak yang dikasihi, pilihan raya kali ini merupakan satu medan jihad untuk kita semua. Saya berharap agar kita semua tidak leka dengan permainan dunia. Banyakkan tahajjud, doa, zikir kepada Allah, qunut nazilah, sentiasalah berwudhu’ dan tingkatkan kewaspadaan. Kita mesti berhati-hati. Sekarang pihak berkuasa sudah bersedia untuk menangkap kita. Namun kita tidak pernah takut, malah kita sentiasa berpegang dengan konsep yang kita laungkan selama ini. ALLAH RABBUNA WA GHAYATUNA. Yang berhak menentukan arah tuju hidup kita hanyalah Allah, bukan manusia”

Hari itu, semangat sekali Ustaz Hadi memberikan semangat kepada kami. Ustaz Hadi memang seorang haraki yang tawadhu’, walaupun berilmu tinggi tetapi tidak pernah meninggi diri.

”Hairi, ana harap enta dapat bersabar terhadap segala mehnah yang menimpa enta. Walaupun pihak polis sudah mengancam untuk menangkap enta, tetapi janganlah berasa takut dan lemah kerana ujian adalah untuk memperkasakan keimanan. Siapa lagi selain enta wahai anakku?” tanya Ustaz Hadi sambil memeluk tubuhku dengan tangan kanannya.

”Alan dan Umar ustaz. Mereka juga sudah bersedia untuk memahatkan keimanan dalam menghadapi segala risiko,” ujarku perlahan. Berita ancaman polis bersedia untuk menangkap kami bertiga tidak pernah menggusarkan kami bahkan menguatkan lagi kendiri kami.

”Banyakkan doa kepada Allah. Hidup sebagai pejuang akan kontang tanpa cabaran. Sudahkan enta berjumpa dengan ustaz Nik wahai anakku?”

”Insya-Allah kami akan meminta restu daripada ustaz Nik dan memohon restu darinya,” kataku. Ustaz Nik dan Ustaz Hadi merupakan dua tokoh yang sangat digeruni dan berwibawa. Sinaran yang terbekas di wajah mereka sudah cukup untuk menundukkan orang-orang yang menentang perjuangan Islami. Hati mereka sangat rapat dengan Allah, dan merekalah murabbi yang kami sanjungi.

Perjuangan ini banyak peritnya. Namun tarbiah telah melahirkan kami sebagai rijal yang memasrahkan diri sepenuhnya kepada Allah dan usaha memurnikan agama-Nya. Kami berebut-rebut menggapai rdha Illahi. Semangat al-Ayyubi, kepintaran al-Fatih, semangat Ibnu Ziyad, keperwiraan Abdullah Azzam dan lain-lain kami pahatkan di hati.

Kami lahir sebagai rijal yang tidak takut kepada Badawi mahupun Razali. Polis FRU hanya umpama kerengga kecil yang kelak akan kami dakwa di hadapan Allah kelak. Manusia bagi kami hanyalah hamba seperti kami, dan yang berkuasa untuk memberikan manfaat dan mudharat hanyalah Allah yang Maha Kuasa.

Aku berbangga kerana sekelilingku ada sahabat-sahabat yang kuat mendokong perjuanganku. Yusri yang selalu meniupkan semangat dakwah dalam diri kami tidak putus-putus menghembuskan tazkirah sebagai penguat hati. Awis al-Hafiz pula sentiasa mendendangkan bacaan ayat-ayat Jihad sebagai pembakar semangat. Kak Khadijah juga sentiasa menghulurkan bunga-bunga harapan kepadaku. Sahabat-sahabat akhawat ada juga menghantarkan SMS menyatakan simpati dan empati. Ternyata, ramai yang bersimpati kepada kami.

Hari tu kami bertiga ke Kelantan. Sepanjang perjalanan, kami banyak menghabiskan masa dengan berzikir mengingati Allah. Syed yang menemani memberikan tazkirah terhadap janji-janji kemenangan terhadap gerakan Islam. aku pula tenggelam dalam zikir, dan aku semakin jauh tenggelam. Apabila aku tersedar, rupanya aku berada di satu tempat yang sunyi, sepi.

Tiba-tiba satu cahaya menerobos masuk. Aku dapat melihat satu sosok tubuh yang tegap beridiri tegak di hadapanku. Wajahnya berseri-seri, dan janggutnya tebal sekali. Kelihatan satu garis putih di bawah matanya, kesan tangisan sentiasa takutkan Allah.

”Anakku, bangunlah,” katanya sambil menghulurkan tangan kepadaku.

Alangkah, aku terkedu sama sekali. Wajah ini amat ku cam, seorang pejuang yang zahid lagi kuat semangat jihadnya.

”Tuan Sa’id Hawwa, hamba sangat merindui Tuan selama ini,” kataku sambil meluru ke arahnya lalu memeluk erat tubuh mujahid yang kusanjung selama ini. ”Anakku, apa yang engkau tahu tentangku”.

”Tuan, tulisan-tulisan tuan meningkatkan semangat hamba untuk terus berjuang. Hamba masih ingat kata-kata tuan, tiada jamaah melainkan dengan kekuatan. Itulah yang terus meniupkan semangat hamba untuk berjuang dan berkorban”.

”Alhamdulillah, Allah memberkati pekerjaan hamba selama ini. Anakku, ayah telah mengetahui segala berita dan kesusahan yang menimpa anak. Ayah datang untuk melihat dan mengusap kedamaian. Anakku, tolong bacakan ayat 111 surah al-Taubah, ayah ingin sekali mendengarnya” .

Aku mendendangkan kalamullah itu dengan suara yang mendayu-dayu. Aku tidak tertahan lalu aku menangis di ribaan Ayahanda Sa’id Hawwa yang kucintai. ”Tuan, hamba banyak sekali dosa kepada Rab. Nanti apabila Tuan bertemu Tuhan, jangan Tuan lupakan hamba,” kataku sambil menahan sendu. Air mata trtumpah tanpa tertahan lagi.

”Anakku, di alam malakut sana, Ustaz al-Banna menyampaikan salam padamu. Katanya rindu sekali untuk menatap wajahmu, berbual dan beramah mesra denganmu wahai anakku”

”Alangkah, ustaz al-Banna ingat pada hamba yang dilumuri dosa ini?”

”Anakku, setiap orang pernah berdosa, dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah yang sentiasa melazimi taubat. Anakku, sudah tiba saatnya untuk engkau diuji, maka tingkatkan kesabaran dan keyakinanmu terhadap segala janji Allah. Teruskan perjuangan dan istiqamah,” kata Ayahanda Sa’id Hawwa sambil berdiri. ”Anakku, ayah pergi dahulu. Kami sangat merindui untuk merasai air telaga Kauthar bersamamu di Jannah al-Firdaus”.

Aku tersedar dari jaga. Alan, Umar dan Syed kulihat sedang menepuk-nepuk pipiku. ”Bangun Hairi, tadi engkau mengigau menyebut-nyebut nama Sa’id Hawwa. Bangunlah, kita sudah sampai di Masjid Ketari sekarang. Ustaz Aris Azlan ingin bertemu dengan kita”

0 Comments:

Hak Milik Hazbj | Hak Cipta Hazbj