Tuesday, December 4, 2007

Perhimpunan Hindraf ditaja oleh Umno?


JASIN, 3 Dis (Hrkh) - Sokongan rakyat kepada Barisan Alternatif (BA) yang semakin ketara sejak akhir-akhir ini mengakibatkan Barisan Nasional (BN) khususnya Umno merasa begitu terdesak lalu talian hayat terakhir yang digunakan ialah memainkan isu perkauman melalui perhimpunan HINDRAF baru-baru ini. Menurut blogger Sang Kelembai, Abd Zarin Mohd Yassin, sebenarnya HINDRAF dibentuk oleh Umno dan MIC sendiri bagi mengalihkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan Pak Lah kepada isu perkauman.
"HINDRAF pada pendapat saya dibentuk oleh Umno sendiri, dibentuk oleh MIC sendiri, tiada sebab bodohnya seorang peguam India ini yang hendak memasukkan satu benda yang tak relevan dalam tuntutan dia iaitu supaya menghapuskan hak istimewa orang Melayu.
"Ia untuk nak mencetuskan satu kegelisahan, mencetuskan kemarahan di kalangan orang Melayu khasnya orang Umno yang buta politik sebab itu Umno mengalihkan isu HINDRAF yang memberikan satu tamparan hebat kepadanya menjadi isu perkauman," katanya yang juga bekas Setiausaha Umno Bahagian Cheras ketika berceramah di Markas PAS Parit Putat, di sini baru-baru ini. Tambah beliau,"Walhal tiada kena-mengena pun kerana di Malaysia ini bukan perkara baru, soal tuntutan ini orang Melayu saja yang bodoh yang tak pernah menuntut apa-apa".

"Sebab waktu Jepun menyerang Tanah Melayu ramai orang Cina dibunuh Jepun, selepas merdeka mereka berjuang untuk menuntut hutang darah dari Jepun dan Tunku selaku Perdana Menteri menyokong tuntutan hutang darah itu yang akhirnya dapat kapal.
"Dalam konsep HINDRAF ini kita kena lihat dari sudut pepatah Melayu 'ku tembak pelanduk, rusa yang kena tetapi bila ku lihat gajah yang mati' sebab dia nak tembak pelanduk, pelanduknya MIC tetapi rusa yang kena ialah British dan bila kita tengok dekat BNlah yang akan mati," kata beliau.

Beliau turut menjelaskan, pemimpin Umno akan gunakan semua anggota partinya seperti kerbau waktu membajak tetapi apabila sawah menjadi padi dan padi menjadi beras kerbau itu akan disembelih untuk dimakan bersama beras.

"Ini memang budaya dalam Umno dah tradisi zaman berzaman kerana saya masuk Umno masa muda, saya cuba buat perubahan di peringkat yang terendah dan di atas lagi tak boleh sebab budaya dalam Umno budaya materialistik. "Umno tak tahu pahala dan dosa dia telan semacam, PAS pada pendapat saya secara peribadi dia akan jadi satu parti yang mahu tak mahu terpaksa orang Melayu terima nanti tetapi memakan masa yang panjang, perjuangan yang panjang," katanya dengan optimis. Beliau berkata, pemimpin Umno berdosa dengan orang Melayu umpamanya pengkhianatan, rasuah, penyelewengan, ketidak-ikhlasan, menipu hidup-hidup dan menjual Melayu macam hamba-abdi, semua pemimpin Umno bercakap soal Melayu tetapi tiada satu pemimpin Umno pun yang tak boleh hidup tanpa adanya orang bukan Melayu di sekelilingnya.
"Soalnya bukan persoalan Melayu atau bukan Melayu, kita dah merdeka 50 tahun tetapi tanah orang Melayu makin lama makin hapus, makin lama makin tak ada, tanah kerajaan bertukar tangan kepada bukan Melayu jadi kita nak salahkan ke bukan Melayu ini? Ini sentimen perkauman yang dimainkan oleh Umno untuk menipu orang kampung," katanya. Seterusnya, beliau melihat bahawa kebangkitan 100,000 baru-baru ini bukan tanda protes kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi satu kebangkitan baru golongan muda bawah 40 tahun iaitu generasi perubahan sudah berlaku dan yang ada sekarang generasi Melayu baru serta mereka itu akan berjaya. "Sebab lebih baik kita berjuang sekarang walaupun nikmat kejayaan itu kita tidak dapat daripada kita tak buat apa-apa dan bangsa kita akan hancur di satu masa nanti jika Melayu tidak berubah paradigma politiknya," ujar beliau

0 Comments:

Hak Milik Hazbj | Hak Cipta Hazbj