KOTA BHARU - Utusan Malaysia(07/12/2007) melapurkan Kerajaan negeri Kelantan bercadang memperkenalkan enakmen bagi membolehkan ibadat sembahyang dikuatkuasakan dari segi undang-undang sejajar dengan usaha untuk memperkasakan amalan terpenting dalam Islam itu.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri berpendapat sudah tiba masanya kerajaan negeri melihat dari aspek perundangan pula setelah pelbagai program berbentuk kempen dilakukan.
Katanya, jika diwujudkan nanti, ia adalah sama seperti undang-undang berhubung ibadat puasa dan sembahyang Jumaat serta perkara lain khususnya yang berkaitan aspek kekeluargaan Islam.
“Jadi, kita (kerajaan negeri ) mahu naik setangga lagi supaya solat fardu pun ada undang-undang yang menguatkuasakannya supaya manusia sedar bahawa solat bukan kerja main-main, ia satu elemen penting bagi memperbetulkan diri.
“Solat mampu mencegah mungkar, jadi ia umpama brek bagi mengawal kebuasan nafsu manusia. Macam keretalah, walau semahal mana sekalipun, kalau tidak ada brek, orang takut hendak naik,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup Seminar Memperkasakan Solat Melalui Pendidikan dan Penguatkuasaan Undang-Undang di Balai Islam di sini semalam.
Hadir sama, Pengerusi Pembangunan Islam dan Dakwah Negeri, Hassan Mohamood dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan, Abdul Aziz Abdul Rahman.
Seminar sehari itu antara lain bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan resolusi mengenai kaedah untuk melaksanakan penguatkuasaan berhubung ibadat sembahyang.
Berhubung tindakan yang dicadangkan dalam menguatkuasakan ibadat sembahyang, Nik Abdul Aziz berkata, perkara tersebut masih terlalu awal untuk dinyatakan.
Friday, December 7, 2007
Kelantan cadang enakmen kuat kuasa sembahyang
Posted by Salasilahjusohmuhammad@blogspot.com at 12:22 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Comments:
Post a Comment