Niat ikhlas patut diikuti rasa tanggungjawab
SETIAP amalan dilakukan mesti dimulai dengan niat atau keyakinan
diri melakukan sesuatu itu memenuhi perintah Allah kerana perbuatan
bergantung kepada niat ketika mula serta ketika melakukannya
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya setiap amalan itu
bermula dengan niat dan perhitungan ke atas amalan seseorang itu
berdasarkan kepada niatnya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Ulama menjelaskan, niat di dalam hati adalah roh bagi segala amalan
yang ingin dilakukan manusia. Tidak mungkin badan dapat bergerak
tanpa roh, begitu juga tidak wujud keikhlasan tanpa niat ikhlas.
Tanpa niat, bermakna perbuatan itu berlaku secara spontan. Apa yang
dilakukan tidak dikira satu kebaikan walaupun ia satu kebaikan
kerana dalam konsep undang-undang, tidak mensabitkan kesalahan jika
dilakukan tanpa niat.
Dalam kaedah fiqh, amalan tanpa niat adalah batal atau tidak sah.
Oleh itu, semua ibadat meletakkan niat sebagai rukun.
Ibadat khusus seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji, niat
mestilah dilakukan pada permulaan ibadat dan diteruskan sehingga
selesai. Jika terlupa niat, ibadat itu tidak sah dan perlu diulang
dengan niat yang betul.
Tetapi, dalam melakukan kebaikan lain, niat boleh dilakukan pada
bila-bila masa, yakni selepas menyedari apa dilakukan itu pada
mulanya sekadar satu tindakan spontan.
Soal balasan kebaikan hanya Allah SWT yang menilainya, Allah SWT
mengetahui apa yang tersimpan di dalam hati kita sama ada ikhlas
atau sebaliknya.
Hendaklah diniatkan apa yang dilakukan adalah semata-mata kerana
Allah SWT sebagai tanda beribadat dan mengabdikan diri kepada-Nya
serta berharap dapat menempatkan diri sebagai hamba bertakwa.
Firman Allah SWT bermaksud: "Tidak akan ciptakan jin dan manusia,
melainkan hanya untuk beribadat kepada-Ku." (Surah adz-Dzariyat,
ayat 56)
Niat dalam hati mestilah sama dengan apa yang ingin dilakukan,
jangan niat lain tetapi lain pula dilakukan.
Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dan
Kami mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya. Kami lebih hampir
kepadanya daripada urat lehernya." (Surah Qaaf, ayat 16)
Niat dikira jika dilakukan dengan kerelaan diri sendiri dan sesiapa
melakukan sesuatu perkara dengan sebab terpaksa tidak dianggap
melakukan apa yang diniatkan. Tidak ada balasan kebaikan atas apa
yang dilakukan secara terpaksa.
Orang yang melakukan kebaikan kerana terpaksa tidak memperoleh
balasan kebaikan sebaliknya, dia hanya mendapat `balasan' daripada
orang yang menyebabkan dia terpaksa melakukan amalan itu.
Kerja yang dilakukan dengan terpaksa bukan saja tidak mendapat
balasan kebaikan, bahkan sukar untuk menghasilkan kejayaan kerana
dilakukan tidak bersungguh-sungguh.
Oleh itu, penting melakukan sesuatu dengan niat yang ikhlas dan
jauhkan diri daripada terjebak melakukannya disebabkan rasa sombong,
riak dan hendak berbangga. Betapa ruginya mereka yang melakukan
kebaikan tetapi tersimpan di dalam hatinya perasaan buruk.
Sesiapa menyimpan perasaan riak kerana melakukan sesuatu, bermakna
dia berasakan apa yang dilakukan itu adalah kebolehannya semata-mata
dan lupa bahawa kemampuan itu kurniaan Allah SWT.
Pernah Rasulullah SAW menganggap perbuatan riak sebagai sebahagian
daripada syirik yang tersembunyi kepada Allah SWT berdasarkan
sesiapa yang riak, secara automatik dia akan lupa kepada Tuhannya.
Serentak itu, selepas perasaan riak menguasai diri, dia pasti berani
menentang hukum Allah SWT.
Inilah yang berlaku terhadap Qarun yang sebenarnya pengikut setia
Nabi Musa dan antara orang yang paling beriman.
Namun, selepas dia mendapat kekayaan dan timbul perasaan riak,
sombong dan lupa diri, Qarun mula ingkar perintah Allah, berasakan
kekayaan yang diperoleh adalah hasil kebolehan serta kepandaian
dirinya sendiri.
Justeru, hindarkan diri menyimpan niat melakukan sesuatu dengan
perasaan riak kerana kita tidak mempunyai apa-apa kekuatan,
melainkan apa yang dipinjamkan sebentar oleh Allah SWT.
Selain itu, apa yang diniatkan hendaklah untuk tujuan kebaikan.
Islam menegah sebarang perbuatan mendatangkan keburukan kerana
perbuatan itu walaupun diniatkan baik tetap tidak akan diterima
sebagai baik.
Ia berlainan jika melakukan perbuatan buruk disebabkan terpaksa atau
darurat, hendaklah apa yang dilakukan itu diniat untuk kebaikan.
Perbuatan yang diniatkan untuk tujuan kebaikan, lakukan dengan
bersungguh-sungguh seola-olah tugasan seperti itu adalah peluang
terakhir dapat melakukannya.
Niat ikhlas bukan boleh dipaksa-paksa kerana keikhlasan turut
diikuti rasa bertanggungjawab atas setiap apa yang dilakukan.
Orang yang niat ikhlas melakukan kebaikan menetapkan setiap gerak
geri dan tutur kata sebagai satu sedekah supaya perbuatan itu tidak
sia-sia serta diterima seperti ibadat dilakukan nabi.
Setiap usaha dilakukan atas dasar ikhlas menimbulkan kekuatan rohani
dan jasmani, sementara semangat juang yang kental membawa kepada
kejayaan dalam semua usaha.
INTI PATI
Kepentingan niat dalam amalan
1 - Niat di dalam hati adalah roh bagi segala amalan yang ingin
dilakukan manusia.
2 - Dalam kaedah fiqh, amalan tanpa niat adalah batal atau
tidak sah.
3 - Hendaklah diniatkan apa yang dilakukan adalah semata-mata kerana
Allah SWT.
4 - Orang yang ikhlas melakukan kebaikan menetapkan setiap gerak
geri sebagai sedekah.
Tuesday, November 20, 2007
Niat ikhlas patut diikuti rasa tanggungjawab
Posted by Salasilahjusohmuhammad@blogspot.com at 7:52 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Comments:
Post a Comment