Tuesday, October 9, 2007

Sebaik-baik Teman Adalah Hati


Sebaik-baik Teman Adalah Hati

"
Bermuafakatlah dengan diri anda sendiri sebagaimana
anda bermuafakat dengan kawan tatkala hendak menentukan
arah tujuan"

Jika anda tanya diri sendiri anda tentu akan mendapat jawapannya.
Tetapi jika anda bertanya secara lebih jujur anda tentu akan
mendapat jawapan yang berbeza. Bertanya pada diri sendiri
membangkitkan dua jawapan; satu bersumberkan hati kecil
dan satu lagi bersumberkan hati besar.

Hati besar akan berkata, "Ah, persetankanlah. Aku bukan
baru setahun dua dalam bidang ni. Kalau aku kena pecat pun,
aku boleh kerja di mana-mana saja.

Setakat kerja di sini apa sangat."

Jika hati kecil yang ditanya, jawapannya mungkin berbeza.
"Alamak, kalaulah betul aku dipecat, memang boleh dapat
kerja lain, tapi senangkah nak dapat? Umur dah lanjut,
siapa nak ambil orang tua bekerja?"

Diri anda adalah sahabat anda yang paling baik. Tatkala
semua orang menolak anda, hati kecil anda masih di situ.

Dialah teman tatkala sunyi, tatkala kebinggungan, tatkala
gagal mengawal marah, tatkala gembira, ceria mahupun
bersedih.

Orang lain mungkin boleh memberikan nasihat yang terbaik,
tetapi anda sendiri lebih tahu apakah nasihat yang paling
baik. Terbaik bagi orang belum tentu terbaik bagi anda.

Dalam soal ini anda hanya memerlukan teman bicara, dia
adalah hati kecil anda sendiri.

Bertanyalah diri sendiri sebab ia sahabat paling setia.
Tanyakanlah hati kecil supaya mendapat jawapan yang
lebih jujur.

Hati besar biasanya penuh dengan ego.

Namun, bukan bermakna hati besar tidak berguna, di
situlah letaknya booster motivasi. Tanpa ego seseorang
lebih rela hidup daif konon takut riak, sombong dan takbur,
padahal pemalas. Ego menolak manusia membuktikan
sesuatu melangkaui batas keupayaan dia yang sebenar.
Itu baik, itu perlu, itu penting.

Orang lain mungkin boleh menjadi sahabat kepada anda,
tetapi ingat, diri anda sendiri adalah sahabat yang lebih
memahami. Juru nasihat terbaik diri anda adalah diri
anda sendiri, lantaran dia lebih memahami anda, dia
lebih mengetahui kelebihan dan kekurangan anda.

Orang lain mungkin boleh memberikan nasihat terbaik tetapi
diri anda sendiri yang mengetahui sama ada nasihat-nasihat
itu sebenar-benarnya baik untuk anda. Bukan semua nasihat
yang baik itu dapat dilaksanakan, lantaran anda sahaja
yang mengetahui apakah ia sesuai, tepat dan mampu
anda gemblengkan tenaga ke arahnya.

Nasihat yang paling baik bukan nasihat yang boleh dicatat
dalam buku sejarah tetapi nasihat yang boleh merubah
anda. Ia mungkin mudah, tetapi cukup berkesan untuk
anda. Ia mungkin nasihat-nasihat biasa, tetapi anda
mampu melaksanakannya.

Buku bukan dinilai pada ilustrasi kulit tetapi apa yang
terkandung di dalamnya. Manusia bukan dinilai pada
wajah dan pakaian tetapi apa yang tersimpan di dalam
hatinya.

Kebijaksanaan dinilai pada tindakan bukan apa
yang berlegar dalam fikiran.

Ramai orang menjadi gagal kerana terlalu mengikut rasa
hati. Itu berbeza dari suara hati.

Rasa hati kerap dibaur
oleh rasa tidak puas, rasa tidak dipeduli, malah rasa
sakit, sedangkan suara hati adalah teman berbual
terutama tatkala anda rasa kesunyian.

Suara hati selalunya lebih jujur dalam memperkatakan
sesuatu. Apabila ia memberikan pandangan biasanya pandangan itu
mengambil kira semua kekurangan dan kelebihan
anda. Maka ia adalah sebaik-baik teman.

Suara hati adalah terbaik untuk menentukan hala
tujuan. Sama ada yang besar atau yang kecil,
kedua-duanya tetap teman. Anda boleh mendapatkan
pandangan dan pendapat orang lain, namun
bermuafakatlah dengan diri sendiri tatkala hendak
menentukan arah tujuan.

0 Comments:

Hak Milik Hazbj | Hak Cipta Hazbj