Thursday, August 7, 2008

KERUNTUHAN akhlak...usah tunggu bala tutun baru berubah

Assalamualaikum.

Kekawan..saya petik dan post e-mail yang saya terima pagi ini,bagi renungan bersama.

KERUNTUHAN akhlak di kalangan umat Islam di negara kita hari ini semakin membarah. Satu masa dulu kita hanya melihat atau mendengar masalah golongan muda terjebak dengan maksiat secara sembunyi-sembunyi.

Hari ini, daripada anak hingusan hingga warga tua yang layak dipanggil datuk tidak segan silu lagi melakukan kemungkaran secara terbuka.

Baik kota besar mahupun di pekan kecil, aurat wanita menjadi perhiasan yang sentiasa didedahkan, keintiman hubungan sama ada berlainan jenis atau sesama jantina menjadi kebiasaan, meneguk arak bagaikan minuman ringan, ada suami serong dan banyak pula isteri curang.

Tidak cukup dengan melakukan kemungkaran, maksiat kini menjadi kebanggaan. Semakin ramai tidak malu mengaku dan menayangkan kelakuan dan perbuatan terlarang.

Malah, ada yang sanggup tampil akhbar, televisyen dan radio semata-mata mahu memberitahu dunia bahawa hidupnya di jalan songsang.

Begitulah ‘nazaknya’ sistem sosial di negara kita yang satu masa dulu masyarakatnya mempertahankan agama, tata susila dan adat ketimuran.

Di mana-mana saja di tanah air tercinta ini, kemungkaran demi kemungkaran ditayangkan di depan mata, seolah-olah undang-undang dan syariah tidak lagi berkuasa dan dikuatkuasakan.

Di dalam kemakmuran, kesenangan hidup dan kemewahan duniawi, ramai rakyat Malaysia lupa diri dan lalai daripada mengingat Yang Maha Esa. Kita seolah-olah lupa dengan sejarah bahawa maksiat menjadi punca keruntuhan banyak tamadun dunia.

Sudah lupakah kita pada bala dan sengsara yang dialami kaum Nabi Nuh yang ditenggelami banjir besar, kaum Tsamud yang ditimpa gempa bumi, kaum Nabi Luth yang diterbalikkan bumi mereka dan negeri Mesir dilanda taufan kencang, diserang hama belalang, kutu dan katak sebelum mereka ditenggelamkan ke dasar laut.

Mereka adalah sebahagian daripada kaum yang ditimpa bala bencana kerana kemungkaran dan keangkuhan diri. Sedangkan, golongan yang terselamat daripada hukuman tuhan dalam bentuk kemurkaan alam itu hanya sebahagian kecil yang masih beriman pada Allah (SWT).

Semua kisah sedih dan menakutkan itu disampaikan melalui ayat suci al-Quran buat bekalan buat umat Muhammad SAW. Sesungguhnya janji Allah (SWT) itu benar dan setiap kesengsaraan adalah satu ujian dan peringatan buat hambanya supaya kembali ke pangkal jalan.

“Sudah nampak kerosakan di darat dan di laut kerana perbuatan tangan manusia supaya Allah (SWT) merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka supaya mereka kembali (ke jalan benar).” (Surah Ar-Rum: Ayat 41)

Apa sekalipun, tidak perlu kita tunggu hingga Allah (SWT) menimpakan bala dulu baru kita hendak berubah. Berubahlah sekarang sebelum kita diberi peringatan, kerana sesungguhnya kesengsaraan seksaan Tuhan bukan pelajaran yang menyenangkan

0 Comments:

Hak Milik Hazbj | Hak Cipta Hazbj